Datuk Yusry Abdul Halim mengakui ketiadaan isterinya, Datin Lisa Surihani yang kini sedang menunaikan ibadah haji di Makkah sejak 7 Mei lalu memberi kesan yang cukup besar buat dirinya.
Menurut Yusry, tempoh berjauhan kali ini antara yang agak mencabar kerana dia sudah terbiasa berkongsi pelbagai perkara bersama insan tersayang, sama ada ketika berdepan saat sukar atau menikmati kejayaan.
Teruskan Membaca“Bagi saya, ini memang antara fasa yang agak berat. Kadang-kadang bila kita sedang sedih atau melalui waktu susah, mesti kita nak orang yang kita sayang ada untuk beri sokongan.”
Ahli kumpulan KRU itu turut berkongsi, perasaan kehilangan itu bukan sahaja dirasai ketika berdepan cabaran, malah ketika dirinya sedang gembira.
Katanya, apabila wataknya dalam drama terbaharu menerima perhatian ramai, dia tetap merasakan ada sesuatu yang kurang kerana Lisa tiada di sisi untuk meraikan momen tersebut bersama.
“Bila kita gembira dan berada di fasa terbaik pun, macam kejayaan watak saya dalam drama terbaharu, rasa itu tetap tak sama sebab tiada orang yang biasa kita kongsi semuanya.”
Dalam pada itu, Yusry turut mengakui dia sering memikirkan perasaan isterinya, lebih-lebih lagi apabila wataknya bersama Tracie menjadi bualan ramai.
Menurutnya, walaupun Lisa tidak pernah menunjukkan sebarang rasa kurang senang, dia tetap cuba meletakkan diri di tempat isterinya dan memikirkan apa yang mungkin dirasakan.
“Watak saya viral dengan Tracie, saya memang jenis yang fikir tentang perasaan pasangan. Walaupun Lisa tak cakap apa-apa, saya tetap terfikir kalau saya di tempat dia, apa agaknya saya akan rasa.”

Mengulas mengenai luahan rindu yang dikongsikan sebelum ini, Yusry berkata ia benar-benar datang daripada hati dan menjadi cara untuk menunjukkan bahawa isterinya sentiasa dekat di hati walaupun berjauhan.
“Memang saya rindu dia. Saya cuma nak dia tahu yang dia sentiasa ada dalam hati saya. Walaupun benda itu selalu saya cakap masa telefon, saya tetap nak tunjukkan perasaan itu.”
















