Lakonan pelakon senior Marisa Yasmin dalam filem The Furious: Pertaruhan Maruah berjaya menyentuh hati ramai penonton, terutama menerusi babak-babak emosinya yang cukup memberi kesan.
Menerusi perkongsian di Threads, Marisa mendedahkan bahawa terdapat beberapa teknik yang biasa digunakan pelakon untuk menghidupkan emosi ketika menjayakan babak sedih. Antaranya ialah dengan mendalami watak secara menyeluruh sehingga perasaan itu hadir secara semula jadi, selain menggunakan pengalaman peribadi sebagai rujukan emosi.
Teruskan MembacaMenurut Marisa, ramai menyangka air mata dalam lakonan hanya hadir kerana kesedihan, namun hakikatnya ia juga boleh tercetus daripada perasaan marah, kecewa, takut atau kehilangan.
Tambahnya lagi, pelakon yang berpengalaman biasanya tidak terlalu mengejar air mata semata-mata. Sebaliknya, mereka lebih memberi fokus kepada kejujuran emosi dan objektif watak yang dibawakan. Bila emosi itu benar-benar dirasai, air mata akan datang dengan sendirinya.
Perkongsian tersebut dibuat selepas seorang netizen bertanya tentang bagaimana pelakon mampu menangis dengan begitu meyakinkan dalam sesuatu babak. Jawapan Marisa itu mendapat perhatian ramai yang kagum dengan komitmen pelakon dalam menghidupkan sesuatu watak.
















