Kuala Lumpur sekali lagi menjadi tumpuan peminat muzik Indonesia apabila Dewa 19 dan Padi Reborn berjaya menghidupkan malam penuh nostalgia menerusi konsert Dewa 19: Cintaku Tertinggal Di Malaysia yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Sabtu lalu.
Ribuan peminat yang hadir disajikan dengan deretan lagu popular daripada kedua-dua kumpulan legenda itu. Dari Roman Picisan, Risalah Hati, Separuh Nafas dan Kangen, suasana bertukar meriah apabila penonton turut sama menyanyikan setiap bait lagu yang dipersembahkan.
Teruskan Membaca
Bagi Padi Reborn, peluang berkongsi pentas bersama Dewa 19 buat kali pertama di Malaysia merupakan satu penghormatan yang cukup bermakna. Walaupun Dewa 19 memiliki pengaruh besar di rantau ini, ia tidak sedikit pun membuatkan mereka berasa kerdil.
Pemain bes Padi Reborn, Rindra berkata, kumpulan itu sentiasa berpegang kepada falsafah padi yang mengajar mereka untuk terus merendah diri meskipun sudah hampir tiga dekad berada dalam industri muzik.
Menurutnya, mereka gembira dapat menghiburkan para Baladewa yang mungkin sebelum ini kurang mengenali lagu-lagu Padi Reborn, sekali gus menyatukan dua kelompok peminat dalam satu malam yang istimewa.

Kali terakhir Padi Reborn dan Dewa 19 berkongsi pentas adalah menerusi Konsert Larut Dalam Harmony yang berlangsung di Jakarta, Surabaya dan Makassar pada tahun 2018.
Selain mengubat kerinduan peminat Malaysia, Padi Reborn turut mengambil kesempatan memperkenalkan album terbaharu mereka berjudul 28 kepada penggemar muzik tempatan.

Dalam masa sama, konsert itu turut menyaksikan satu situasi tidak dijangka apabila pemain dram Dewa 19, Tyo Nugros, gagal menyertai persembahan selepas berdepan masalah imigresen ketika dalam perjalanan ke Malaysia.
Bagaimanapun, kekosongan itu berjaya diisi oleh anak Ahmad Dhani, Al Ghazali, yang tampil sebagai pemain dram gantian. Walaupun berdepan tugas besar menggantikan Tyo, Al berjaya mengekalkan momentum persembahan dan menerima sorakan positif daripada penonton.

Lebih menghangatkan suasana, Dewa 19 turut tampil dengan tiga vokalis mereka iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe yang masing-masing membawa warna tersendiri sepanjang persembahan.
Secara keseluruhan, konsert Dewa 19: Cintaku Tertinggal Di Malaysia bukan sekadar mengubat kerinduan peminat selepas tiga tahun Dewa 19 tidak beraksi di negara ini, malah berjaya menyatukan Baladewa dan Sobat Padi dalam satu malam yang dipenuhi muzik, nostalgia dan kenangan yang sukar dilupakan.
















