Pelakon Fattah Amin mengakui dirinya kini berada dalam fasa yang cukup mendebarkan apabila sedang menghitung hari untuk menyambut kelahiran cahaya mata pertama bersama isteri tercinta, Amira Othman.
Menurut Fattah, Amira kini lebih banyak meluangkan masa berehat di rumah bagi memastikan keadaan dirinya dan bayi sentiasa berada dalam keadaan baik menjelang hari kelahiran.
Teruskan MembacaBerkongsi perkembangan terkini, Fattah berkata segala keperluan untuk menyambut kehadiran bayi mereka sudah pun disediakan lebih awal.
Malah, ada sebahagian barangan yang sudah siap dimasukkan ke dalam kereta sebagai persediaan jika perlu ke hospital pada bila-bila masa.
“Alhamdulillah, semua persiapan sudah dibuat. Keperluan bayi, barang-barang untuk Amira dan perkara lain yang diperlukan semuanya sudah tersedia.
“Sekarang cuma tunggu masa sahaja. Ada beberapa barang pun sudah berada dalam kereta untuk memudahkan urusan nanti,” katanya.
Dalam masa sama, Fattah mendedahkan mereka sebenarnya sudah mengetahui jantina bayi tersebut, namun memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu.
“Untuk kami berdua, memang sudah tahu jantina bayi. Tapi kami nak simpan dulu dan akan kongsikan selepas bayi lahir nanti di media sosial,” ujarnya.
Walaupun sudah mempunyai pengalaman bergelar bapa sebelum ini, Fattah mengakui perasaan gementar tetap ada kerana setiap kehamilan dan proses kelahiran membawa pengalaman yang berbeza.
“Saya memang rasa berdebar sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku. Setiap orang melalui pengalaman yang berbeza.
“Kadang-kadang bila Amira rasa sesuatu atau ada tanda-tanda tertentu, saya terus jadi risau dan panik. Lepas itu kami akan rujuk doktor untuk mendapatkan kepastian,” katanya lagi.
Menurut Fattah, dia juga tidak mahu terlepas peluang untuk melalui setiap detik kehamilan bersama isterinya dan sentiasa berusaha menemani Amira sepanjang tempoh tersebut.
Untuk rekod, Fattah dan Amira mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025.
Sebelum itu, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Nur Fazura pada 27 November 2017 sebelum bercerai pada 7 Oktober 2024. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya.
















