Penyanyi Haqiem Rusli mendedahkan dia juga pernah menjadi sasaran buli siber sepanjang bergelar figura awam.
Menerusi satu hantaran di Threads, Haqiem berkongsi pengalamannya berdepan dengan individu yang lantang mengkritik dan melemparkan kata-kata negatif di media sosial, namun bersikap sebaliknya apabila bertemu secara bersemuka.
Teruskan MembacaMenurut Haqiem, situasi tersebut bukanlah sesuatu yang asing baginya kerana ada segelintir pihak yang hanya berani bersuara di alam maya.
“Ramai yang berani membuli atau bercakap bukan-bukan di media sosial, tapi bila berjumpa depan-depan terus diam,” kongsinya.
Susulan perkongsian itu, ramai netizen tampil meminta Haqiem mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 28 tahun itu menegaskan dia tidak bercadang untuk membuka aib atau mendedahkan mana-mana pihak kerana enggan mengikut cara yang sama seperti pembuli siber.
Tambahnya, jika dia memilih untuk mendedahkan individu tersebut kepada umum, tindakannya itu tidak akan memberi sebarang perbezaan dengan mereka yang gemar menyebarkan kebencian di media sosial.
“Kalau saya dedahkan siapa mereka, saya pun sama sahaja seperti pembuli siber,” jelasnya.
Perkongsian Haqiem itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya menyokong pendiriannya untuk tidak membalas kecaman dengan kecaman.
















