PETALING JAYA: Seorang kru kapal warga Indonesia maut, manakala empat lagi cedera dalam kejadian kebakaran kapal bunker barge MT 108 yang berlaku malam tadi di perairan Tompok Utara, Johor.
Teruskan MembacaInsiden yang berlaku sekitar jam 9.50 malam itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa oleh seorang nelayan tempatan, sebelum disahkan oleh Pusat Penyelamat Maritim Wilayah Selatan (MRSC APMM).
Nasib baik, semua anak kapal sempat diselamatkan dengan bantuan sebuah kapal komersial yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.
Daripada lima kru yang terlibat, empat cedera, seorang rakyat Malaysia dan tiga warga Indonesia dan semuanya kini sedang dirawat di hospital.
Seorang lagi, juga warga Indonesia, disahkan meninggal dunia dan akan melalui proses bedah siasat.
Susulan kejadian, dua aset maritim iaitu MV Polaris milik Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan KM Satria milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah digerakkan ke lokasi untuk pemantauan dan bantuan lanjut.
Jabatan Laut turut maklumkan satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan untuk siasat punca sebenar kebakaran dan semak jika ada pelanggaran prosedur keselamatan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tak sebarkan maklumat yang belum sahih sebab siasatan masih berjalan.