KUALA Lumpur sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai pusat inovasi dan kemajuan teknologi di persada antarabangsa.
Buat pertama kalinya sejak 2016, ibu negara Malaysia itu berjaya menempatkan diri dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi (S&T) Global yang diterbitkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO), menduduki tempat ke-93.
Teruskan MembacaMenerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pencapaian tersebut bukan sekadar angka dalam senarai, tetapi merupakan simbol kebangkitan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena sains dan teknologi, bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di peringkat global.
Dengan fokus yang semakin kuat terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D), Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai visi menjadi pemimpin serantau dalam inovasi teknologi.
Di sebalik pencapaian tersebut, terdapat dua nama besar yang menjadi nadi kepada kemajuan itu – Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) Berhad dan Universiti Malaya.
“MIMOS, yang dikenali sebagai peneraju dalam teknologi semikonduktor dan kecerdasan buatan, telah menyumbang secara signifikan sebagai pemohon paten utama di Kuala Lumpur.
“Sementara itu, Universiti Malaya pula terus mengharumkan nama negara sebagai institusi terkemuka dalam penerbitan saintifik.
“Dengan penyelidikan berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh universiti ini, Kuala Lumpur berjaya memperkukuhkan kedudukannya sebagai kluster S&T yang disegani, mengukuhkan Malaysia sebagai pusat ilmu pengetahuan dan inovasi,” kata kenyataan tersebut.
Pengiktirafan oleh WIPO ini datang pada masa yang sangat tepat, mengukuhkan lagi usaha kerajaan Malaysia melalui KMOSTI untuk menjadikan negara sebagai hab teknologi di rantau ini.
Dengan pelbagai inisiatif strategik dan pelaburan yang terus mengalir ke dalam sektor sains dan teknologi, Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk mencipta masa depan yang lebih cemerlang.
Pencapaian Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster S&T tersebut bukan sahaja menjadi lambang kejayaan negara, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang sains dan teknologi.
Baca juga: