PETALING JAYA: Inkues bagi mencari jawapan sebenar di sebalik kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, akan bermula pada 3 September depan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Teruskan MembacaKoroner Azreena Aziz, yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, umumkan tarikh itu ketika sebutan kes hari ini.
Prosiding dijadual berlangsung sepanjang September, 3 hingga 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 dan 22 hingga 30 September dengan seramai 195 saksi disenaraikan untuk beri keterangan.
Peguam keluarga Zara, Hamid Ismail, berkata pihaknya akan mohon jadi pihak berkepentingan dalam inkues.
“Kalau diluluskan, kami bukan lagi sekadar pemerhati. Kami boleh soal saksi yang dipanggil dan dapatkan semua dokumen daripada Jabatan Peguam Negara (AGC). Insya-Allah permohonan ini akan diterima,” katanya.
Ditanya mengenai himpunan solidariti untuk Zara, Hamid kata keluarga sangat hargai sokongan orang ramai, tapi berharap isu ini tidak dijadikan bahan politik.
Sebelum ini, pada 13 Ogos, AGC umumkan inkues akan dijalankan bagi tentukan punca kematian Zara, termasuk menilai sama ada ada unsur jenayah.
Zara ditemui tidak sedarkan diri jam 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada keesokan harinya.
Jenazah Allahyarhamah kemudian digali semula pada 9 Ogos untuk bedah siasat susulan dakwaan wujud unsur buli sebelum tragedi itu.