SIPITANG: Kerajaan akan mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial.
Teruskan MembacaMenteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti setiap platform dipatuhi sepenuhnya.
“Saya telah memaklumkan kepada wakil platform media sosial bahawa Malaysia akan mewajibkan pelaksanaan proses eKYC bagi memastikan tiada akaun dimiliki oleh kanak-kanak di bawah umur 13 tahun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program NADI on Wheels (NOW) di Dewan Undangan Negeri Sindumin, pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan wakil platform media sosial akan diadakan minggu hadapan sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan dasar tersebut.
“Tempoh pelaksanaan akan saya bentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum diumumkan secara rasmi,” jelasnya.
Selain aspek perlindungan kanak-kanak, Fahmi menegaskan pelaksanaan eKYC juga penting dalam membanteras aktiviti penipuan dalam talian serta penyebaran kandungan berbahaya termasuk iklan palsu dan perjudian.
“Banyak platform media sosial disalah guna oleh penjenayah siber bagi tujuan penipuan. Malah, 78 peratus daripada keseluruhan kandungan penipuan yang telah dipadam datang daripada platform Facebook,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan komitmen kerajaan melalui MCMC untuk memperluas capaian digital di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif, antaranya program NADI on Wheels (NOW) dan Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
“Projek SALAM ini akan menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah, termasuk laluan kabel dasar laut dari Tanjung Aru ke Tawau, dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” tambahnya.
Fahmi turut menegaskan bahawa Kementerian Komunikasi komited memperkukuh infrastruktur telekomunikasi di Sabah melalui penyelenggaraan menara komunikasi serta penggunaan sistem jana kuasa hibrid bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan ketika menghadapi bencana seperti banjir.
















