Hasrat pasangan bakal pengantin untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian apabila mereka maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 200 kaki di Bukit Kawah, petang Jumaat.
Teruskan MembacaDalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Hassan Shazali, 52, seorang guru dan pasangannya Suzaimah Che Azis, 34, pekerja kantin.
Difahamkan, kedua-dua mangsa dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab, insiden berlaku apabila MPV yang dinaiki pasangan berkenaan dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di laluan yang sebenarnya telah ditutup akibat tanah runtuh.
“Siasatan awal mendapati kenderaan melalui jalan yang tidak dibenarkan dan kemudian hilang kawalan,” katanya.
Hasil siasatan juga mendapati Suzaimah tercampak keluar dari kenderaan manakala Hassan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat pasangan itu kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.
Difahamkan, jalan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada pengguna jalan raya berikutan keadaan permukaan yang tidak selamat selepas kejadian tanah runtuh, namun cuaca ketika kejadian dilaporkan dalam keadaan baik.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
















