Sekali lagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman membuktikan mereka tidak main-main dalam perang terhadap dadah apabila berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran bunga ganja berskala antarabangsa bernilai hampir RM2 juta di Kelantan.
Teruskan MembacaOperasi yang dikenali sebagai Operasi AGAS itu dijalankan hasil risikan rapi selama hampir empat bulan sebelum serbuan dilakukan di beberapa lokasi sekitar negeri tersebut.
Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, serbuan pertama dibuat di Jalan Kota Bharu–Gua Musang apabila sebuah kenderaan suspek terlibat dalam perlanggaran. Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 320 bungkusan bunga ganja dengan anggaran berat 52 kilogram.
Tak berhenti di situ, pasukan JSJN kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Sri Guchil, Kuala Krai dan menahan dua lagi individu berusia antara 32 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat secara langsung dalam sindiket berkenaan.
Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.82 juta, manakala nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM1.92 juta.
Lebih membimbangkan, dadah tersebut dipercayai mampu memberi kesan kepada lebih 104,000 orang, termasuk golongan muda, sekiranya berjaya diedarkan ke pasaran tempatan atau luar negara.
Hasil siasatan mendapati sindiket ini sudah aktif sejak September 2024, menggunakan laluan sempadan sebelum menjadikan Kelantan sebagai lokasi transit.
Paling mengejutkan, dalang utama sindiket dipercayai seorang wanita dari negara jiran, dan polis kini giat menjejakinya dengan bantuan pihak berkuasa antarabangsa.
Kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
JSJN menegaskan mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah kerana jenayah ini bukan sahaja merosakkan masa depan anak muda, malah mencemarkan nama negara.
















