PETALING JAYA: Berita baik untuk rakyat. Kerajaan MADANI akan mula menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 bagi tahun 2026 bermula 20 Januari ini, dengan peruntukan mencecah RM1.1 bilion.
Teruskan MembacaBantuan ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas yang tidak mempunyai pasangan, sekali gus membantu meringankan tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), jumlah STR yang diterima adalah antara RM100 hingga RM500, bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.
Mulai tahun 2026, kerajaan turut menyusun semula kaedah penyaluran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) supaya bantuan sampai dengan lebih konsisten dan berkesan. Di bawah penambahbaikan ini, lebih lapan juta rakyat layak menerima SARA secara bulanan, termasuk kira-kira 400,000 golongan miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam sistem eKasih.
Ringkasnya, SARA kini jadi bantuan asas bulanan, manakala STR pula berfungsi sebagai bantuan tambahan yang diberikan secara suku tahunan, khas untuk isi rumah dan warga emas bujang berpendapatan RM5,000 ke bawah sebulan.
MOF memaklumkan, pendekatan ini dibuat bagi memastikan bantuan diagihkan secara lebih tersusun dan stabil, selain memberi sedikit kelegaan kewangan ketika waktu tertentu seperti musim perayaan dan awal persekolahan.
Untuk tahun 2026, jumlah keseluruhan peruntukan STR dan SARA mencecah RM15 bilion, sekali gus mencatatkan peruntukan tertinggi pernah disalurkan kerajaan setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menegaskan bahawa fokus Kerajaan MADANI adalah untuk menaikkan taraf kehidupan rakyat, bermula dengan memastikan keperluan asas dipenuhi terlebih dahulu.
Bagi mereka yang belum memohon atau ingin membuat rayuan, permohonan STR kini dibuka sepanjang tahun menerusi portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my. Status bayaran serta maklumat berkaitan SARA pula boleh disemak di laman web sara.gov.my.
MOF dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan. Kementerian menegaskan mereka tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan semua info sah hanya diumumkan melalui portal rasmi STR dan SARA.
Pendek kata, pastikan semak info daripada sumber rasmi sahaja dan elakkan klik pautan mencurigakan.
















