SHAH ALAM: Kisah kehidupan Dr Malik Yatam benar-benar menyentuh hati apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap beliau, seorang bekas banduan yang berjaya menamatkan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) ketika masih berada di dalam penjara.
Teruskan MembacaMenurut Selangor Royal Office, pertemuan hampir sejam itu berlangsung dalam suasana tenang dan penuh emosi. Baginda turut bertanyakan khabar serta perancangan masa depan Dr Malik selepas beliau dibebaskan.
Sultan Sharafuddin dilaporkan amat terharu dengan perjalanan hidup Dr Malik yang tidak pernah berputus asa walaupun menjalani hukuman penjara selama 24 tahun. Baginda berpandangan beliau wajar diberi peluang kedua untuk membina semula kehidupan.
Dr Malik menerima pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor pada 2024 selepas segala faktor berkaitan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November tahun lalu.
Dalam pertemuan tersebut, baginda turut menitipkan nasihat agar Dr Malik sentiasa menjaga nama baik keluarga serta terus mengekalkan semangat untuk memperbaiki taraf hidup.
Pertemuan ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pertemuan pertama seumpamanya antara Sultan Selangor dengan bekas banduan yang menerima pengampunan diraja.
Dr Malik dibebaskan pada 11 Disember 2024 selepas menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (TLS) sejak tahun 2001, ketika usianya baru 14 tahun. Kini berusia 39 tahun, beliau berjaya memperoleh PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan hasil usaha berterusan menimba ilmu semasa berada di Penjara Kajang.
Kisah Dr Malik kini menjadi bukti bahawa perubahan dan peluang kedua itu benar-benar wujud bagi mereka yang sanggup berusaha.
















