Kadang bukan jumlah yang buat sesuatu momen tu bermakna, tapi keikhlasan di sebaliknya. Itu yang berlaku bila Anwar Ibrahim terima sampul duit raya daripada dua kanak-kanak kecil, baru-baru ini.
Momen tersebut jadi perhatian ramai selepas satu video tular memaparkan dua beradik dari Terengganu, Uwais Al Qorni dan kakaknya Aesha Khadeeja, dengan penuh berani menghulurkan sampul raya kepada Perdana Menteri ketika beliau berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
Teruskan MembacaApa yang buat ramai tersenyum, reaksi Anwar sendiri. Dalam rakaman yang dikongsikan, beliau dilihat membuka sampul itu di dalam pesawat sambil tersenyum lebar, siap berseloroh mengatakan sudah “berpuluh tahun” tidak menerima duit raya.
Walaupun isi sampul tersebut hanyalah wang kertas RM2 dan RM5, jelas terpancar kegembiraan di wajah beliau. Bagi Anwar, nilai sebenar bukan pada jumlah, tetapi pada keikhlasan dua adik kecil yang memberi dengan hati yang tulus.
Malah, beliau turut meluahkan rasa terharu dengan tindakan tersebut dan melihatnya sebagai simbol kasih sayang rakyat, tanpa mengira usia atau latar belakang.
Dalam masa sama, beliau berharap kanak-kanak seperti mereka akan terus membesar dalam suasana penuh kasih sayang, mendapat pendidikan yang baik dan peluang yang adil dalam kehidupan.
Kadang-kadang, momen paling menyentuh bukan datang dari acara besar atau protokol rasmi, tapi dari perkara kecil yang lahir dari hati. Dan kali ini, dua ‘peminat cilik’ berjaya buat seorang Perdana Menteri tersenyum macam dapat duit raya pertama kali.
















