Selepas lebih sedekad mencipta fenomena menerusi drama popular Adam & Hawa, pasangan pelakon Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa sekali lagi dipertemukan dalam drama bersiri terbaharu berjudul Bidadari Tanpa Syurga.
Menurut Nadiya, peluang untuk kembali bergandingan dengan Aaron dianggap sebagai satu rezeki, lebih-lebih lagi apabila masih ramai peminat yang mengingati keserasian mereka di layar kaca.
Teruskan MembacaKatanya, selepas Adam & Hawa, mereka pernah muncul bersama dalam sebuah drama pendek berkaitan karya tersebut, namun kali ini peminat dapat menyaksikan mereka beraksi dalam sebuah siri yang lebih panjang dan penuh konflik.
Walaupun sedar ramai masih melekat dengan watak ikonik mereka sebelum ini, Nadiya mengakui dia tidak terlalu memikirkan soal perbandingan sepanjang proses penggambaran. Sebaliknya, fokus diberikan kepada jalan cerita baharu yang lebih berat dan dekat dengan isu masyarakat semasa.
Dalam masa sama, Aaron turut meluahkan keterujaan dapat bekerjasama semula dengan Nadiya yang disifatkannya sebagai seorang pelakon profesional dan berbakat.
Tambah Aaron, penonton mungkin akan melihat beberapa babak romantik pada awal cerita, namun drama ini sebenarnya menyimpan pelbagai kejutan dan plot twist yang tidak dijangka.
Bidadari Tanpa Syurga mengisahkan Azlan, seorang pengasas NGO yang dikenali sebagai lelaki warak dan disegani ramai. Namun di sebalik imej tersebut, dia sebenarnya seorang individu yang manipulatif serta menjalani kehidupan berpoligami secara rahsia. Kehadiran dua isterinya, Husna dan Aisyah, mencetuskan pelbagai konflik yang menjadi tunjang utama jalan cerita.
Selain Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa, drama terbitan Viu Original itu turut dibintangi Syad Mutalib, Lorenzo Irmann, Idzham Ismail, Shahronizam Noor dan Faye Kusairi. Siri 12 episod berkenaan kini boleh ditonton secara eksklusif di platform Viu setiap Khamis dan Jumaat.
















