Sejumlah 47,000 set telefon pintar jenama Samsung dan Honor bagi Pakej 5G RAHMAH tiba di Malaysia minggu ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kesemua telefon pintar itu akan diedarkan ke pusat pengedaran syarikat telekomunikasi (telco) yang terlibat dalam menyediakan Pakej 5G RAHMAH.
Teruskan Membaca“Pihak telco memaklumkan ia adalah satu jumlah yang mencukupi dan mereka akan pantau untuk pastikan jumlah peranti ini terus mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Sungai Klang di Jalan Klang Lama.
Pakej 5G RAHMAH ditawarkan untuk semua rakyat Malaysia bermula 31 Ogos lepas dengan kontrak langganan selama 24 bulan.
Pakej tersebut menawarkan spesifikasi asas pelan data 5G melibatkan telefon pintar jenama Samsung dan Honor berharga tidak melebihi RM240 berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60 gigabit (GB).
Ditanya mengenai sambutan rakyat terhadap inisiatif itu, Fahmi berkata maklum balas yang diterima setakat ini adalah positif dengan ramai yang sedang meneliti pelbagai pakej berbeza yang disediakan oleh telco.
“Ramai yang sangat berminat, malah ada yang bertanya jika model telefon sekian ada ataupun tiada di pasaran (di bawah Pakej 5G RAHMAH),” katanya.