Terkini

Gas meletup dipercayai punca sembilan gerai makanan di Teluk Kemang terbakar

Sembilan premis gerai makan difahamkan rentung dalam satu insiden kebakaran yang berlaku di Dataran Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Pengunjung dan orang ramai di situ rata-ratanya turut cemas dan menyelamatkan diri masing-masing di samping cuba untuk memadamkan api marak.

Insiden itu dipercayai berpunca akibat letupan gas memasak di salah sebuah dapur premis berkenaan yang sekali gus mengakibatkan deretan kedai di situ turut terbakar sama.

Komander operasi, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.16 petang sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang diarahkan ke lokasi.

“Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu water tanker dan navara dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian.

“Selain itu, sepasukan anggota bomba dari BBP Port Dickson turut dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan EMRS dan BBP Seremban dengan kekuatan satu water tanker,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, empat lot gerai terbakar 100 peratus manakala lima lagi lot gerai dianggarkan terbakar 25 peratus.

“Setiap gerai berkeluasan 10×10 kaki persegi dan daripada sembilan gerai berstruktur kayu yang terlibat itu, empat daripadanya musnah 100 peratus manakala lima lot lagi terbakar 25 peratus.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya menerusi kenyataan.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top