Terkini

Tragedi 23 maut kebakaran pusat tahfiz: Lelaki kekal di penjara selama perkenan Agong

Pada 14 September 2017, Malaysia digemparkan dengan berita menyayat hati, seramai 23 pelajar dan penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah maut selepas premis itu terbakar. Dalam kejadian itu, turut terkorban ialah dua warden pusat tahfiz. 

Dalam sidang media oleh Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, suspek-suspek dipercayai bertindak membakar pusat tahfiz tersebut akibat dendam.

Dalam perkembangan terkini, Mahkamah Rayuan memutuskan seorang lelaki yang berdepan tuduhan membunuh 23 penghuni tahfiz dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, enam tahun lalu, kekal dilepas dan dibebaskan.

Manakala, seorang lagi lelaki mahkamah telah memutuskan kekal di penjara selama tempoh mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong atas kesalahan sama.

Keputusan sebulat suara ini diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Abu Bakar Jais (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Che Mohd Ruzima berkata, bagi perayu pertama atau pesalah kanak-kanak satu (PKK1), panel hakim mendapati, tiada sebab untuk mengusik keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati dia bersalah atas 23 pertuduhan berkenaan.

Menurutnya, bagi membuktikan kes di Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 71 saksi dan tidak dipertikai bahawa mereka bergantung kepada keterangan mengikut keadaan.

Katanya, tiada saksi melihat PKK1 meletakkan tong gas di hadapan pintu asrama di tingkat tiga sekolah itu, mencurahkan petrol di rak kasut dan menyalakan api untuk membakar bangunan berkenaan.

“Bagaimanapun, ada saksi mengecam PKK1 sebagai orang yang memanjat pagar tahfiz dan ia disokong menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersebelahan bangunan terbakar itu.

“Rakaman juga diperoleh di stesen minyak, pusat snuker dan rumah jiran PKK1, yang menunjukkan dia memegang satu botol bahan bukti,” katanya.

Selain itu hakim ini menyatakan, mahkamah menerima keterangan penemuan pemetik api yang ditunjukkan sendiri oleh PKK1, dalam bilik tidur rumahnya kepada pihak polis.

Beliau berkata, ia menunjukkan PKK1 mengetahui pemetik api mana yang ingin digunakan untuk memulakan kebakaran.

Katanya, berdasarkan siasatan pihak forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, terdapat kesan dari bahan petrol dan tong gas yang dihala ke pintu bangunan tahfiz menjadikan punca kebakaran disengajakan.

Susulan itu beliau berkata, dapatan Mahkamah Tinggi terhadap keputusan mensabitkan kesalahan terhadap PKK1 adalah selamat dan harus dikekalkan, maka rayuan perayu ditolak.

Beliau berkata, memandangkan tiada hujahan dikemukakan pihak pembelaan berhubung dengan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi maka keputusan penjara yang dikenakan juga dikekalkan.

Pelbagai

Scroll to Top