Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh agensi kerajaan dalam tempoh lapan bulan beliau mentadbir negara.
Mengambil contoh Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), beliau berkata, agensi di bawah Kementerian Kewangan itu telah mempamerkan prestasi yang baik dalam pengurusannya.
Teruskan Membaca“Saya dah hampir lapan bulan dalam kerajaan, mengetuai negara ini, saya bangga, saya meneropong, menelusuri setiap agensi dan minta dipantau teliti kalau ada apa-apa kekurangan, ketirisan, kerosakan, terutama berskala besar.
“Dan syukur Alhamdulillah, setakat ini AmanahRaya prestasinya baik dan saya harap semangat ini dikekalkan kerana ia tidak hanya terletak kepada pimpinan sahaja malah seluruh jentera juga harus menjamin kebersihan (AmanahRaya),” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Ulang Tahun ke-100 AmanahRaya dan pelancaran logo khas 100 tahun agensi itu di Bukit Kiara pada Jumaat.