Lelaki yang menetak kanak-kanak berusia 11 tahun di perumahan pekerja di Felda Sahabat 30, dekat sini akhirnya berjaya diberkas polis.
Suspek, Paulus Poka Lolo, 33, ditahan sepasukan polis bantuan Felda di dalam kawasan blok 12 ladang FGV PM Sahabat 41, di sini.
Teruskan MembacaKetua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, susulan kejadian, polis bantuan Felda mempertingkatkan rondaan kawasan berkenaan dan menemui suspek di kawasan berkenaan.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kemudian membuat tangkapan semula suspek terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, soal siasat kemudian mendedahkan lokasi senjata berupa parang yang digunakan oleh suspek ketika kejadian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) IPD Lahad Datu.
“Susulan pendedahan itu, polis menemui dan merampas sebilah parang berukuran 0.5 meter di kawasan semak tepi jalan Ladang FGV PM Sahabat 41.
“Jarak dari lokasi kejadian ke lokasi tangkapan dianggarkan dua kilometer manakala jarak dari lokasi kejadian ke lokasi senjata ditemui hampir 2.5 kilometer.
“Jarak dari lokasi tangkapan ke lokasi senjata parang ditemui dalam anggaran 500 meter,” katanya.
Sementara itu, Rohan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Lahad Datu esok bagi permohonan reman untuk melengkapkan siasatan.