Kerajaan berhasrat memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, ia lebih berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.
“Kita ada sekolah yang memberi ruang kepada anak-anak yang miskin khususnya yang paling miskin serta keputusan (akademik) yang tidak memuaskan.
Kita beri mereka peluang untuk belajar,” katanya.
Jelasnya, peluang pendidikan perlu diberikan secara saksama supaya tiada mana-mana golongan tercicir daripada pendemokrasian mutu pendidikan yang memberikan hak pendidikan kepada semua orang.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengakui, pengundi muda dalam kelompok usia antara 18 hingga 25 tahun memiliki pengaruh besar bagi menentukan corak politik negara.
Sehubungan itu, katanya, kelompok berkenaan wajar membuat penilaian sebaiknya dalam menentukan bagaimana mereka mahu mencorakkan masa depan negara menerusi kuasa undi dimiliki mereka.