Terkini

Lelaki ditahan pakai nombor plat ‘MAT REMPIT’

Tindakan seorang lelaki memaparkan nombor pendaftaran motosikal dengan perkataan ‘MAT REMPIT’ mengundang padah apabila ditahan pihak polis di sekitar Pandan Indah, Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, penahanan itu dilakukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Ampang Jaya kira-kira pukul 11 pagi.

“Ketika ditahan, lelaki berusia 20 tahun itu didapati menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 yang mempamerkan nombor pendaftaran “MAT REMPIT” pada plat belakang.

“Pemeriksaan lanjut terhadap nombor casis dan nombor enjin motosikal mendapati nombor pendaftaran “MAT REMPIT” yang terpamer plat belakang adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Azam, penunggang bersama motosikal telah dibawa balik ke Balai Polis Trafik Ampang untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati penunggang motosikal yang ditahan tidak mempunyai lesen memandu yang sah, tiada perlindungan insuran dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.

“Selain itu, kompaun juga telah dikeluarkan terhadap penunggang tersebut,” katanya.

Menurutnya, kes nombor pendaftaran palsu disiasat di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.-KOSMO! ONLINE!

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top