Kira-kira RM302.43 juta berjaya diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas 3,820,526 notis saman trafik diselesaikan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Jumlah tersebut meningkat hampir 136 peratus berbanding tahun lepas (2022) yang hanya mencatatkan kutipan sebanyak RM127.87 juta.
Teruskan MembacaPengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, kewujudan aplikasi MyBayarSaman antara penyumbang peningkatan pembayaran saman bagi agensi itu.
“Tahun lepas (2022) sahaja melalui sistem MyBayarSaman mencatatkan kutipan sebanyak RM37.59 juta membabitkan 207,217 notis saman berjaya diselesaikan.
“Berbeza dengan tahun ini, direkodkan sebanyak RM169.28 juta membabitkan 2.43 juta jumlah saman,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati pembayaran saman melalui aplikasi MyBayarSaman bagi tahun lepas sahaja melibatkan 1,338,956 pengguna.
“Bagi tahun ini pula (setakat Ogos) kita merekodkan sebanyak 1,106,734 pengguna melunaskan bayaran mengikut aplikasi itu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 6.44 juta saman bagi tahun 2022 manakala pada tahun ini (setakat Ogos) direkodkan sebanyak 1.91 juta saman.