Pempengaruh media sosial, Eira Aziera hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan dia membayar ganti rugi RM100,000 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan ‘body shaming’ seorang pesuruhjaya sumpah wanita menerusi Facebook Live, tiga tahun lepas.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah membuat keputusan berkenaan secara sebulat suara.
Teruskan MembacaPada Jun 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan Eira Aziera memfitnah pesuruhjaya sumpah, Suharnizan Md Sidek dan mengarahkan pempengaruh itu membayar ganti rugi RM100,000 dan kos sebanyak RM30,000.
Ahmad Zaidi yang membacakan keputusan hari ini berkata, pihaknya bersetuju keputusan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf kerana perkataan diluahkan pihak defendan adalah fitnah dan jelas tanpa memerlukan pakar untuk mengesahkannya.
Katanya, tiada merit dalam rayuan Eira Aziera atau nama sebenarnya Noorazira Pissal, 39, sebagai defendan dan tidak dibuktikan bahawa Mahkamah Tinggi membuat kesilapan.
“Kami dapati jumlah ‘award’ (ganti rugi diperintahkan) oleh Mahkamah Tinggi adalah munasabah, tidak berlebihan atau tidak kurang. Mahkamah Tinggi sudah mengambil kira mengenai ‘body shaming’ dan buli siber.
“Rayuan balas (untuk ganti rugi sebanyak RM2 juta) oleh pihak plaintif (Suharnizan) berhubung kuantum itu (RM100,000) tiada meritnya dan ia ditolak, kuantum itu adalah dikekalkan,” katanya.