KONSERT tunggal penyanyi, Aisha Retno, telah dibatalkan serta-merta seminggu sebelum berlangsungnya momen paling bersejarah itu.
Aisha Retno atau nama sebenar, Sharifah Aisha Retno binti Sayed Sipulijam, 24, baru-baru ini telah bersuara mengenai konsert tunggalnya yang dibatalkan tersebut menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.
Teruskan MembacaDalam video berkenaan, Aisha memberikan penerangan berkaitan kerjasama bersama penganjur pada mulanya begitu meyakinkan, malah perkara tersebut memberi satu pengajaran buatnya yang dianggap masih hijau dalam industri muzik.
“Untuk offer pelaksanaan konsert ini, Aisha memang sangat ragu-ragu bila pihak penganjur yakin untuk mengadakan konsert tunggal Aisha.
“Aisha berkata kepada mereka, masih sangat-sangat baru dan hijau dalam industri dan saya rasa saya perlu banyak belajar dan kumpul aset dari segi lagu dan sebagainya.
“Tetapi apabila pihak penganjur yakin dengan offer itu, saya pun serta-merta terima. Tetapi, apabila sudah jadi macam ini, penting untuk saya dedahkannya kerana konsert ini membawa kesan cukup besar dalam hidup saya,” terang Aisha.
Oleh itu, pelantun lagu Sutera itu mendapat kerugian yang memberi impak buat dirinya kerana terpaksa menolak beberapa tawaran bekerja kerana ‘terikat’ dengan terma dan syarat yang dikenakan untuk konsert tersebut.
Walaubagaimanapun, Aisha sempat memohon maaf buat para peminat yang sudah membeli tiket sejak tarikh mula dibuka dan menganggap bukan rezeki baginya untuk muncul di satu konsert yang sangat besar serta memutuskan untuk berehat buat seketika. — KL Viral