KUMPULAN K-pop popular, NewJeans, mengumumkan keputusan mereka untuk meninggalkan agensi Ador, anak syarikat Hybe, atas dakwaan penganiayaan dan manipulasi yang berlaku sepanjang kerjasama mereka.
Dalam sidang media yang diadakan, salah seorang ahli kumpulan, Hanni, meluahkan rasa kecewa dengan sikap agensi yang didakwa gagal melindungi artis di bawah jagaan mereka.
Teruskan Membaca“Kami tidak mahu terus bekerja dengan syarikat yang tidak mempunyai niat melindungi NewJeans.
“Ini bukan etika kerja yang kami hormati,” katanya, lapor media antarabangsa, BBC.
Dakwaan tersebut turut menyentuh isu gangguan tempat kerja yang dialami oleh kumpulan itu termasuk komunikasi yang disengajakan dan manipulasi dalam pelbagai aspek.
Hanni turut mendedahkan bahawa pengalaman itu membuatkan mereka percaya bahawa syarikat tersebut tidak menghormati hak mereka sebagai artis.
Namun, Ador menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa kontrak kumpulan itu masih sah.
“Tuntutan sepihak bahawa kepercayaan telah hilang tidak cukup untuk membatalkan kontrak,” kata kenyataan agensi tersebut.
Ador juga menyatakan harapan agar NewJeans bersedia untuk berbincang secara terbuka demi menyelesaikan konflik itu.
Isu tersebut mendapat perhatian selepas NewJeans memfailkan notis undang-undang terhadap Ador pada 13 November lalu, menuntut syarikat menyelesaikan pelanggaran kontrak dalam tempoh 14 hari.
Mereka juga menuntut agar bekas penerbit mereka, Min Hee-jin dikembalikan ke posisi asalnya.
Sebagai salah satu kumpulan K-pop paling berjaya sejak debut pada 2022, NewJeans kini berhadapan cabaran besar yang mungkin mempengaruhi masa depan mereka.
“Kami tidak melanggar sebarang peraturan. Kami hanya memberikan yang terbaik, dan mereka yang bertanggungjawab atas segala masalah ini,” kata Haerin, salah seorang ahli kumpulan NewJeans.
Ador bagaimanapun menegaskan mereka tidak melanggar kontrak dan berharap kumpulan itu terus berkolaborasi.
Walaupun begitu, konflik itu dijangka berlanjutan ke mahkamah untuk menentukan status kontrak dan kerugian yang mungkin terlibat.