Ahli Parlimen Sungai Petani Mohammed Taufiq Jauhari berkata kritikan terhadap kepimpinan Malaysia dalam ASEAN pada peringkat awal sangat tidak adil dan ia dibuat tanpa berlandaskan fakta yang benar.
Menurutnya Malaysia telah memulakan kepengerusian ASEAN dengan asas yang kukuh dan pencapaian negara perlu dinilai berdasarkan hasil yang akan dicapai sepanjang tahun ini.
Teruskan Membaca“Menolak usaha Malaysia dalam ASEAN pada peringkat awal tanpa melihat impak jangka panjang adalah tidak adil. Tumpuan sepatutnya diberikan kepada kemajuan ketara yang akan berlaku sepanjang tahun, bukannya menilai hanya selepas sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kritikan yang dilemparkan sesetengah pihak terutama pihak pembangkang tentang peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Katanya kerajaan secara prokatif melaksanakan pelbagai langkah untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi, keselamatan serantau, keberkesanan institusi, dan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Antara inisiatif yang telah dilaksanakanm katanya ialah menerajui usaha perkukuh pendirian kolektif ASEAN dalam isu Laut China Selatan.
“Malaysia mendesak agar Kod Tatalaku (COC) yang mengikat secara sah dengan China dapat dimuktamadkan bagi mengelakkan konflik dan memastikan kebebasan navigasi di perairan tersebut.
“Malaysia juga menggesa ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dalam keselamatan maritim bagi menangani ancaman seperti penangkapan ikan secara haram dan aktiviti lain yang menggugat kestabilan serantau,” katanya.
Selain itu, katanya Malaysia juga berperanan penting dalam memastikan pelaksanaan penuh Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan, seterusnya memantapkan kedudukan ASEAN sebagai hab ekonomi global.
Beliau berkata dengan usaha yang disebut adalah sangat terbukti Malaysia menunjukkan kepimpinan yang jelas dalam memperkukuh kapasiti institusi ASEAN.