Tindakan tegas seperti menarik balik atau menutup akses pengendali media sosial yang masih lagi menyiarkan kandungan berkaitan judi perlu dilaksanakan dalam usaha membanteras kandungan dan aktiviti judi dalam talian.
Pakar kriminologi bebas Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, cadangan itu dibangkitkan susulan aktiviti itu dilihat masih lagi berleluasa biarpun pelesenan media sosial sudah diwajibkan pada awal tahun ini.
Teruskan Membaca“Justeru kerajaan dicadang untuk menarik semula lesen pengendali dan menutup akses media sosial berkaitan yang tidak mengambil sebarang tindakan atau bertindak sambil lewa dalam memerangi judi dalam talian.
“Langkah ini dijangka bakal membuatkan pengendali media sosial lebih fokus dalam pembanterasan bukan sahaja terhadap judi dalam talian, malah akan mengurangkan aktiviti terlarang yang lain di platform terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah kesedaran orang ramai terhadap judi dalam talian.
Pada masa sama Shahul turut menyarankan agar kerajaan mengambil tindakan terhadap individu yang didapati terbabit dalam aktiviti tersebut.
Ini katanya termasuk dengan mengenakan hukuman denda dan penjara dalam tempoh masa berpatutan.
Sebelum ini Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata sebanyak 5,026 laman sesawang judi disekat, manakala 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial juga turut diturunkan sehingga 1 Februari lalu.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna.
Katanya, perkara itu selaras dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu.