Pendakwah bebas, PU Syed, menegur pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima, susulan satu adegan dalam drama Bidaah yang tular baru-baru ini.
Teguran itu dibuat selepas satu babak dalam drama berkenaan yang memaparkan pelakon Vanidah Imran mengusap janggut Faizal Hussein menggunakan kakinya mencetuskan kontroversi dalam kalangan penonton.
PU Syed dalam kenyataannya di Instagram menyatakan bahawa walaupun tema ajaran sesat yang diketengahkan dalam drama itu memang wujud dalam realiti, adegan yang dianggap keterlaluan tidak perlu dipaparkan secara visual.
Menurutnya, isu ajaran sesat boleh disampaikan dengan cara lain tanpa memperlihatkan babak yang boleh mengundang ketidakselesaan masyarakat.
“Banyak lagi cara untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ajaran sesat. Tidak perlu memaparkan babak yang melanggar sensitiviti dan tidak sesuai dengan norma masyarakat kita,” kata PU Syed.
Beliau turut menggesa Erma Fatima agar lebih memberi tumpuan kepada menghasilkan karya yang berunsurkan patriotik dan Islamik yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.
Selain itu, PU Syed turut mempersoalkan fungsi badan penapisan yang membenarkan drama seperti ini ditayangkan dan menyeru pihak kementerian agar lebih tegas dalam menyaring kandungan hiburan.
Setakat ini, Erma Fatima masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung teguran yang dibuat oleh PU Syed.
Selain Bidaah, Erma Fatima turut menghasilkan drama Keluarga Itu, yang turut mendapat perhatian netizen.
Jalan ceritanya yang berani serta kupasan isu sosial yang mendalam mencetuskan pelbagai reaksi.
Ada yang memuji keberanian Erma dalam mengetengahkan realiti masyarakat, namun ada juga yang mengkritik elemen tertentu dalam drama berkenaan.