Lawatan Marco Rubio ke Malaysia: Tanda Malaysia Bukan Calang-calang di Mata Dunia – Yuneswaran

PETALING JAYA – Lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio ke Malaysia bukan sekadar lawatan biasa ia petanda jelas bahawa Malaysia semakin dihormati di pentas antarabangsa, kata Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj.
Menurut beliau, kunjungan itu mencerminkan peranan Malaysia yang semakin penting bukan hanya dalam politik serantau, tapi juga dari sudut ekonomi global dan hubungan dua hala.
“Malaysia kini jadi tumpuan sebagai Pengerusi ASEAN, dan kita berjaya kekalkan prinsip berkecuali sambil tetap lantang bersuara dalam isu hak asasi manusia, termasuk konflik Gaza-Palestin,” katanya.
“Apa yang menarik – walaupun kita berprinsip tegas, hubungan dengan Amerika Syarikat tetap kukuh dan terus berkembang. Ini bukti Malaysia mampu pertahankan moral tanpa korbankan kepentingan strategik,” katanya lagi.
Yuneswaran turut menyatakan bahawa lawatan Rubio adalah peluang keemasan untuk perluas kerjasama dalam sektor penting seperti perdagangan, pelaburan, keselamatan, teknologi, perubahan iklim dan pendidikan.
“Sebagai wakil rakyat, saya mahu lihat hubungan diplomatik ini bawa manfaat langsung kepada rakyat – seperti lebih banyak peluang pekerjaan, pasaran eksport yang luas, dan posisi Malaysia yang kukuh dalam rantaian bekalan global,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia akan terus menjadi suara yang berprinsip, progresif dan aktif di peringkat dunia demi keamanan dan kemakmuran bersama.
Untuk rekod, semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Marco Rubio dalam satu pertemuan berprofil tinggi, sekaligus melonjakkan hubungan Malaysia-AS ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.

Lagi Topik Menarik

Apa Yang Viral?