DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tindakan tutup terhadap dua premis hiburan di sekitar Jalan Tun H.S Lee dan Jalan Metro Pudu 2, Kuala Lumpur pada Ahad.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh DBKL, kedua-dua buah premis tersebut diarah tutup kerana menjalankan aktiviti hiburan dan menjual minuman keras tanpa menggunakan lesen yang sah.
Teruskan Membaca“Pada masa yang sama, barangan yang berkaitan dengan perniagaan milik premis hiburan tersebut turut disita dibawah Seksyen 17, Akta Hiburan (WPKL) 1992.
“Pihak DBKL juga mengeluarkan dua notis kompaun dibawah Undang-Undang Kecil 3(1), Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK 22(1)(d), Akta Petempatan Makanan (WPKL) 2016,” kata kenyataan tersebut.
DBKL turut mengeluarkan dua Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan dibawah Seksyen 4(1)(a), Akta Hiburan (WPKL) 1992 atas kesalahan mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen.
Dalam pada itu, 43 individu yang terdiri daripada 16 orang lelaki dan 27 orang wanita telah diberikan Surat Perintah Hadir (SPH) dibawah Seksyen 19, Akta Kesalahan Syariah 1997 atas kesalahan mengambil minuman keras dan memabukkan.
Tujuh individu turut ditahan dibawah Seksyen 3(1), Akta Penagih Dadah 1983 atas kesalahan mengambil barangan terlarang.
Kesemua barangan yang disita telah dibawa ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tujuan rekod dan dokumentasi.
Operasi penguatkuasaan DBKL tersebut turut dibantu oleh agensi sahabat termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (AADK). — KL Viral
Baca juga: