GEORGETOWN: Legenda badminton negara, Lee Chong Wei, terus mendapat pengiktirafan apabila hari ini dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, sempena sambutan ulang tahun ke-84 beliau dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung di Dewan Sri Pinang.
Teruskan MembacaLee Chong Wei, 42, bukan nama asing dalam dunia sukan, beliau dianggap ikon sukan Malaysia yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa selama bertahun-tahun.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menduduki ranking nombor satu dunia dalam acara perseorangan lelaki selama 349 minggu, satu pencapaian luar biasa yang belum dapat disaingi hingga kini.
Antara detik paling membanggakan dalam karier beliau termasuk memenangi tiga pingat perak di pentas Olimpik (Beijing 2008, London 2012, Rio 2016), empat pingat emas Sukan Komanwel, dan deretan kejuaraan dalam Siri Super seperti Terbuka Malaysia, Jepun dan Indonesia.
Penganugerahan gelaran Datuk Seri ini dilihat sebagai satu penghargaan besar atas jasa dan sumbangan luar biasa beliau kepada negara, bukan saja dalam bidang sukan, tetapi juga sebagai inspirasi buat generasi muda.
Tahniah Datuk Seri Lee Chong Wei, nama anda kekal terpahat sebagai wira sukan sejati Malaysia!