KUALA LUMPUR —Angkatan Muda Keadilan (AMK) membidas keras tindakan PAS yang kononnya mahu menjadi “juara moral” dalam isu LGBT.
Sedangkan realitinya negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka sendiri sedang bergelut dengan pelbagai masalah sosial yang membimbangkan.
Teruskan Membaca“Jangan sembang bab moral kalau negeri sendiri penuh masalah. LGBT memang haram dalam Islam, kerajaan pun tak pernah iktiraf.
“Tapi bila PAS sembang, macam Malaysia ni dah halalkan pulak,” tegas Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetap berpegang teguh pada prinsip Islam dan undang-undang negara.
“Sejak bila negara kita benarkan LGBT? Undang-undang dah jelas — Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan memang peruntukkan hukuman untuk perbuatan songsang ini,” katanya.
Namun, apa yang mengecewakan, kata Danish, ialah sikap hipokrit PAS yang seolah-olah mahu membina modal politik murahan atas isu yang sudah jelas pendirian kerajaan.
“Kelantan, Terengganu dua negeri PAS antara yang tertinggi kes buang bayi, gejala sosial, dan penagihan dadah. Itu belum kira kes penderaan seksual. Tapi tiba-tiba jadi malaikat dalam isu LGBT? Come on,”tegasnya.
Dalam pada itu, AMK juga menyelar cubaan sesetengah pihak untuk menggambarkan kerajaan MADANI tunduk kepada agenda liberal ekstrem.
“PMX sendiri dah berulang kali kata kita takkan tunduk pada agenda yang bertentangan dengan syariat dan nilai budaya kita. Jangan putar belit,”tegasnya.
AMK menasihatkan PAS agar berhenti “menangguk di air keruh” dan sebaliknya memberi tumpuan kepada masalah sebenar rakyat, terutamanya di negeri-negeri yang mereka tadbir.
“Nak bantu rakyat? Selesaikan isu kemiskinan, pendidikan, penagihan dadah. Jangan sibuk cipta isu semata-mata nak nampak suci di media,” jelasnya