KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara serak basah dari seberang, Cakra Khan, berjaya buat lebih 3,000 peminat yang hadir ke konsert solo Divide Concert Cakra Khan terpegun dengan persembahan penuh emosi dan magis di Dewan Plenary, KLCC Sabtu lalu.
Teruskan MembacaDalam konsert hampir tiga jam tu, Cakra atau nama penuhnya Cakra Konta Paryaman bawakan 26 lagu dengan penuh penghayatan, sebagai penutup sebelum dia ambil keputusan untuk berehat daripada dunia persembahan.
Malam tu bermula tepat jam 8.45 malam dengan lagu “Setelah Kau Tiada”, diikuti “Persinggahan” dan “Mencari Cinta Sejati”. Cakra sempat beri ucapan ringkas tapi jujur, “Berdiri di pentas ini mendebarkan, saya takut terlupa lirik, tapi malam ini saya beruntung kerana ada kalian semua.”
Persembahan malam tu memang ‘all-out’. Diiringi lebih 10 pemuzik profesional lengkap dengan biola, selo, saksofon, trompet, gitar dan dram ditambah lagi dengan penyanyi falsetto latar yang menyedapkan lagi suara seraknya yang dah sedia memikat.
Antara lagu lain yang sempat Cakra sampaikan termasuk “Kau Memilih Dia”, “Salah Tapi Baik”, “Tak Sejalan”, “Cahaya” dan “Take The Pain”.
Lagi syok, bila Cakra jemput lima penyanyi istimewa naik pentas sama-sama: Titi DJ, Trio XL, Marsha Milan, Faisal Lubis dan Ade Govinda semuanya beri vibe berbeza dan buat persembahan lebih meriah.
“Saya jemput Trio XL nyanyi ‘Rindu Tak Bersuara’ sebab mereka ada asas vokal klasik yang kuat,” kata Cakra.
Antara momen paling sebak malam tu ialah bila Cakra imbas kenangan bersama arwah ayahnya, Hermana, yang meninggal dunia akibat strok pada 2020. Menurut Cakra, setiap persembahan yang dia buat adalah untuk arwah ayah dan semua yang dah lama sokong dia.
Ada juga part yang buat peminat bersorak gembira bila Cakra turun dari pentas dan menyanyi dekat dengan penonton. Lagu-lagu rancak seperti “Treasure”, “Never Felt So Good” dan “September” memang buat semua bangun dan sing along.
Tapi paling ‘wow’, bila dia nyanyi lagu “Bunyi Gitar” nyanyian asal Tan Sri P. Ramlee. Suara serak dia dengan irama klasik memang ngam habis!
“Saya suka lagu-lagu P. Ramlee dan memang idolakan dia. Harap satu hari nanti saya boleh nyanyi lebih banyak lagu-lagu beliau,” katanya.
Namun di hujung konsert, suasana jadi senyap dan emosi bila Cakra umumkan yang konsert tu adalah penampilan terakhir untuk satu tempoh masa sebab dia nak fokus cipta karya baru.
“Terima kasih atas sokongan yang kalian beri selama ni. Selepas ni saya akan berehat dulu,” kata Cakra sambil akhiri malam dengan dua lagu penuh makna, “Harus Terpisah” dan “I Will Always Love You” (lagu asal Whitney Houston) yang disampaikan dengan penuh jiwa.