PETALING JAYA: Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil bersuara, mendesak agar siasatan penuh dan telus dijalankan ke atas kes kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, mereka menyeru agar pihak berkuasa tidak berkompromi dalam mencari kebenaran, demi keadilan buat arwah dan keluarganya.
Teruskan Membaca“Kami amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga Zara Qairina. Kehilangan ini sangat menyayat hati, apatah lagi apabila ia melibatkan insiden buli yang berlaku di sekolah,” kata wakil Suara Mahasiswa UMS.
Kejadian yang berlaku di SMK Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu bukan saja mengejutkan, tetapi menurut mereka, menunjukkan isu buli masih menjadi masalah serius dalam sistem pendidikan terutamanya di sekolah berasrama.
Mereka juga menggesa reformasi segera terhadap sistem pendidikan berasrama, termasuk cadangan seperti:
- Pemasangan CCTV di kawasan asrama dan lokasi strategik,
- Perlindungan kepada pelajar yang tampil membuat aduan,
- Program kesedaran dan pendidikan anti-buli secara menyeluruh.
“Kes ini tak boleh dipandang ringan. Kami mahu suara mangsa seperti Zara Qairina tidak dibisukan begitu sahaja,” jelas kenyataan itu lagi.
Menurut mereka, keluarga arwah layak tahu kebenaran penuh, dan masyarakat juga berhak rasa yakin dengan keselamatan anak-anak di sekolah.
“Kepada keluarga Zara, kami bersolidariti dan mendoakan agar kalian terus diberi kekuatan. Kami di Suara Mahasiswa UMS akan terus pantau kes ini dan beri sokongan moral serta advokasi untuk perubahan yang lebih baik.”
Sebelum ini, media melaporkan jenazah pelajar tersebut yang ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah akan digali semula bagi tujuan bedah siasat lanjutan.