Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 12 orang lagi suspek yang terlibat satu pergaduhan membabitkan urusan menunda kenderaan dalam kemalangan berhampiran Kampung Malaysia Tambahan, Cheras pada awal pagi Isnin.
Penahanan ini menjadikan keseluruhan yang ditahan sehingga kini, adalah 22 orang.
Teruskan MembacaKetua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini.
“Seramai 12 individu yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan ini telah ditahan pada petang semalam di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tegas beliau, pihak polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang negara.
Malah menurutnya, tindakan tegas akan diambil demi menjaga keharmonian dan ketenteraman masyarakat.
Sebelum ini, KualaLumpurViral melaporkan seramai 10 individu direman selama dua hari kerana disyaki terbabit dalam insiden pergaduhan itu.
Pihak polis menerima laporan daripada orang awam mengenai pergaduhan itu jam 1.37 pagi, Isnin lalu.