KUALA LUMPUR: PKR mengecam tindakan PAS yang didakwa cuba mempolitikkan isu kematian remaja, Allahyarhamah Zara Qairina, 13, dengan menyifatkannya sebagai langkah “dangkal” dan tidak menghormati keluarga mangsa.
Teruskan MembacaKetua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman, berkata kenyataan Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, yang menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, meletakkan jawatan hanyalah cubaan menangguk di air keruh.
“Amat mengecewakan bila parti yang bawa imej Islam memilih untuk politikkan isu kematian, sedangkan ini patutnya tentang mencari keadilan untuk mangsa,” katanya.
Menurut Syed Badli, Saifuddin sebenarnya bertindak pantas dengan arahkan pasukan siasatan khas Bukit Aman ditubuhkan dan proses inkues dijalankan sebaik sahaja kelemahan siasatan awal dikenal pasti.
Beliau juga menjelaskan kelewatan siasatan bukan berpunca daripada menteri, tetapi kecuaian pegawai penyiasat sendiri. Malah, PDRM sudah mengakui kesilapan itu dan tindakan tatatertib bakal diambil terhadap mereka yang terbabit.
“Kenyataan Nurul Islam ni hanya ganggu usaha bawa pelaku sebenar ke muka pengadilan. PAS sepatutnya hormati keluarga arwah, bukan jadikan isu ini modal politik,” katanya lagi.
Kes kematian Zara Qairina jadi perhatian ramai selepas timbul isu kelewatan bedah siasat yang menimbulkan persoalan tentang prosedur siasatan pihak berkuasa.
















