PERIKATAN NASIONAL (PN) diingatkan tidak ‘bermimpi di siang hari’untuk merampas kerajaan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Mengapa Takiyudin tak petik kajian tempatan? |
Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata begitu sebagai merujuk dakwaan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bahawa Kerajaan Madani kemungkinan hilang Selangor dan Negeri Sembilan berpandukan kajian sebuah badan luar negara.
Teruskan MembacaTambah Yahya, PN sepatutnya mengambil kira kajian politik tempatan yang lebih mengetahui senario di negara ini sebelum membuat dakwaan kononnya Selangor dan Negeri Sembilan akan bertukar pentadbiran.
“Kenapa hendak menggunakan kajian dibuat badan dari luar negara, sebaliknya mereka boleh menggunakan kajian dibuat universiti atau pihak tidak berkepentingan?
“Adakah PN tidak yakin dan percaya dengan badan kajian tempatan kerana kita di pihak PH berpandangan kajian dipersembahkan oleh pemikir tempatan lebih tepat dari sudut itu berbanding dengan pihak luar negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Takiyuddin pada Dialog Isu Semasa di Kota Bharu Trade Center (KTC) baru-baru ini memetik laporan yang didakwanya dari Singapura.
Dipetik laporan lidah rasmi Pas Harakahdaily, kajian itu dakwanya meramalkan PH menghadapi persaingan serta kejutan di Pulau Pinang, manakala PN terus memperkukuhkan cengkaman di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Takiyuddin walau bagaimanapun dia tidak memperincikan sumber dan hasil kajian tersebut
Tiada sebab untuk tukar kerajaan Selangor
Sementara itu tegas Yahya, kajian dibuat pemikir tempatan pula meramalkan sebaliknya apabila Kerajaan Perpaduan di Selangor dijangka kekal untuk memerintah dan meneruskan pentadbiran di negeri ini.
“Itu baru satu kajian sahaja, sebaliknya 11 atau 12 kajian tempatan yang dibuat dalam negara menyatakan kita (PH) menang di (PRN) Selangor.
“Bagaimanapun, ini hanyalah kajian semata-mata terhadap kaji selidik dijalankan ke atas beberapa individu atau responden,” jelas beliau.
Justeru, katanya, ukuran berdasarkan kajian semata-mata tidak semestinya menggambarkan keseluruhan, sebaliknya paling utama dari segi gerak kerja jentera dan kepercayaan rakyat
“Paling penting apakah rakyat memberi keyakinan kepada pemimpin atau parti politik dalam menentukan kemenangan PRN,” jelasnya sambil berkata tiada sebab rakyat di Selangor akan menukar Kerajaan Perpaduan yang terbukti telah membangunkan negeri itu pada tahap terbaik.
“PN hendak buat Selangor baharu yang berteraskan macam mana lagi, adakah hendak menggunakan model seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah?
“Saya tidak nampak model itu boleh diterima oleh rakyat Selangor yang jauh ke depan,” tambahnya.