Kerajaan Perpaduan bakal melaksanakan post mortem susulan peratusan keluar mengundi yang dilaporkan rendah pada enam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Menteri Komunikasi dan Digitalyang juga Pengarah Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, usaha itu akan dibuat bagi memahami dengan lebih mendalam keadaan tersebut yang berlaku pada PRN hari ini.
Teruskan Membaca“Dari segi turn out itu mungkin kita kena faham apa yang berlaku dan kita akan buat post mortem untuk memahami dengan lebih mendalam. Kami akan lihat apakah sebab berlakunya keadaan ini.
“Kita juga akan lihat dan teliti usaha pihak kerajaan Persekutuan dalam menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengumuman keputusan PRN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.
Dalam pada itu, Fahmi menyifatkan keputusan PRN kali ini sudah dalam jangkaan berdasarkan penelitian beberapa dapatan firma-firma kaji selidik.
“Banyak kaji selidik yang dilaporkan mempunyai banyak data tambahan dan kita akan ambil semua data ini untuk kita teliti,” katanya.