Manifesto Perpaduan Negeri Kedah dilancarkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) malam tadi adalah tawaran rasional dan selari dengan aspirasi Madani dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di peringkat Persekutuan.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, manifesto ditawarkan itu juga komprehensif, realistik, munasabah dan boleh dilaksana sekiranya gabungan berkenaan berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada 12 Ogos ini.
Teruskan Membaca“Perkara dalam manifesto ini menyentuh tentang pembangunan akal fikiran, kemahiran dan aspek pengisian dalaman, semuanya lengkap… inilah sebenarnya kerajaan Madani yang ingin dibawa. Ini baharu politik matang.
“Bila nak ajak rakyat Kedah pilih kerajaan, biar dasar lawan dasar, program lawan program, tawaran lawan tawaran. Kita mulakan politik baharu dan rakyat tidak membuat keputusan hanya berkisar pada politik, sentimen kaum dan agama yang sempit,” katanya ketika berucap pada Majlils Pengumuman dan Pengenalan Calon serta Pelancaran Manifesto Perpaduan Negeri Kedah di Sungai Petani, malam tadi.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, keadaan itu berbeza berbanding dengan apa ditawarkan Perikatan Nasional (PN) di bawah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak selari dengan kerajaan Madani di peringkat Persekutuan.
“Sanusi boleh tawar, tapi kalau tiada duit macam mana nak buat? Kerana itu rakyat Kedah kasi tukar bagi sama (pentadbiran) negeri dengan Persekutuan, baru boleh buat,” katanya.
PRN di enam negeri melibatkan Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah akan diadakan 12 Ogos ini, manakala penamaan calon pada Sabtu ini.