KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mencadangkan supaya had umur tamat sekolah ditetapkan pada usia 16 tahun. Menurutnya, langkah ini boleh bantu anak muda masuk ke dunia pekerjaan lebih awal, sekitar umur 21 tahun.
Teruskan MembacaAhli Parlimen Pandan itu berkata, cadangan ini selari dengan keperluan negara yang kini menuju ke arah status ‘negara menua’, dan memerlukan lebih ramai tenaga kerja muda.
Rafizi bercakap mengenai perkara ini semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, dengan fokus kali ini kepada pendidikan sebagai asas kepada pembangunan masa depan negara.
“Sekolah patut tamat lebih awal pada umur 16. Kita dah jadi negara menua. Jadi lebih baik kalau anak-anak kita boleh mula kerja lebih cepat,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, terutamanya peringkat prasekolah bagi kanak-kanak seawal usia lima tahun. Katanya, pendidikan awal yang baik sangat penting kerana ia membentuk asas yang kukuh untuk tahun-tahun persekolahan berikutnya.
“Kalau dari awal tak dididik dengan betul, masuk Darjah Satu atau Darjah Lima pun dah ketinggalan. Sebab itu negara-negara lain banyak melabur pada pendidikan awal, bukan masa universiti,” jelasnya lagi.
Menurut Rafizi, dalam RMK13 kali ini, kerajaan tidak menyebut angka tertentu atau bajet khusus, tetapi komitmen untuk sediakan pendidikan prasekolah secara universal jelas dinyatakan.
Beliau berharap dalam tempoh lima ke sepuluh tahun, semua sekolah di Malaysia akan mampu sediakan perkhidmatan prasekolah yang menyeluruh dan terbuka kepada semua kanak-kanak.