PETALING JAYA: Buat pertama kali dalam sejarah negara, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke Rusia untuk lawatan negara dari 5 hingga 10 Ogos ini, atas jemputan rasmi Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Teruskan MembacaMenerusi kenyataan dari Istana Negara, lawatan ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai kali pertama seorang Agong menjejakkan kaki ke Kremlin secara rasmi, tapi juga menjadi simbol peranan penting institusi diraja Malaysia dalam dunia diplomatik.
Lawatan ini juga dilihat mampu memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Rusia yang dah terjalin sejak 1967, dan pada masa sama membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang strategik macam perdagangan, pendidikan, teknologi dan inovasi, serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan (2025), Malaysia dijangka mainkan peranan besar dalam mempererat hubungan serantau dengan Rusia, yang dah jadi Rakan Dialog ASEAN sejak 1996.
Di Moscow nanti, Seri Paduka Baginda akan disambut dalam Istiadat Sambutan Negara di Kremlin dan akan bertemu secara rasmi dengan Presiden Putin. Majlis Santapan Negara juga akan berlangsung sempena lawatan ini.
Bukan setakat itu saja, Baginda juga dijadualkan melawat dua pusat teknologi utama di Rusia iaitu Pusat Pembangunan Teknologi Automotif (NAMI) dan Hub Inovasi Tochka Kipeniya sebagai langkah nak tingkatkan kerjasama dalam bidang inovasi dan teknologi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengiringi keberangkatan Baginda dalam Istiadat Mengucap Selamat Berangkat, dan menyifatkan lawatan ini sebagai langkah strategik yang bakal buka ruang kerjasama lebih luas.
“Lawatan ini bakal jadi pemangkin hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia. Ia juga berpotensi bawa masuk pelaburan dan teknologi baru, terutamanya dalam sektor tenaga, aeroangkasa, pertahanan dan pertanian pintar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pula mewakili seluruh warga penjawat awam merafak sembah dan mendoakan agar lawatan Seri Paduka Baginda dipermudahkan serta sentiasa dalam lindungan Ilahi.
















