KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan selepas dipercayai menikam bapanya hingga maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Permaisuri, awal pagi Sabtu.
Teruskan MembacaMangsa, berusia 62 tahun, dipercayai dibunuh susulan perselisihan berhubung isu harta keluarga.
Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid berkata, pihak polis menerima laporan kejadian sekitar jam 3.01 pagi.
“Apabila anggota tiba di lokasi, mangsa ditemukan terlentang di ruang tamu rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan parah pada muka dan kepala,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk proses bedah siasat.
Ridzuan memaklumkan, seorang penganggur yang juga anak kandung mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah dibenarkan selama tujuh hari, bermula 13 hingga 19 September,” jelas beliau.
Polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.