AURA baharu Harimau Malaya kini bergema bukan sahaja di padang tetapi juga di hati penyokong apabila kumpulan muzik terkenal, Hujan, melancarkan lagu rasmi skuad kebangsaan berjudul ‘Demi Lencana Di Dada’.
Single terbitan Warner Music Malaysia (WMM) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu mula dilancarkan pada 5 September dan dijangka menjadi laungan semangat penyokong setia negara, sama ada di stadium mahupun di rumah.
Teruskan MembacaVokalis Hujan, Noh Salleh berkata, lagu tersebut mula dihasilkan sejak Februari lalu dengan harapan ia mampu meniup semangat juang kepada para pemain dan seluruh rakyat Malaysia.
“Kami bangga kerana diberi peluang. Lagu ini bukan sekadar muzik tetapi simbol penyatuan dan semangat di belakang pasukan kebanggaan kita,” katanya.
Lagu tersebut buat kali pertama dimainkan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi persahabatan Malaysia menentang Singapura pada Khamis, 4 September 2025 (hari ini).
Ia juga dijadual berkumandang di Stadium Sultan Ibrahim pada perlawanan menentang Palestin, 8 September ini.
Mengulas cabaran menghasilkan lagu itu, Noh mengakui bahawa mereka mahu memastikan setiap lirik dan melodi benar-benar menyampaikan roh perjuangan Harimau Malaya.
“Lagu ini tentang pengorbanan, harapan dan inspirasi.
“Kami mahu penyokong dan pemain sama-sama merasai getarnya,” katanya lagi.
Untuk rekod, ‘Demi Lencana Di Dada’ merupakan lagu rasmi pertama skuad Harimau Malaya hasil kolaborasi antara FAM dan WMM.
Ia boleh distrim di semua platform digital bermula 5 September, manakala lirik video rasmi telah dimuat naik di saluran YouTube WMM.
















