KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen Malaysia terhadap usaha memperjuangkan keamanan serantau dan penyelesaian yang adil serta berkekalan bagi konflik di Gaza, ketika berucap di Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 pada Isnin.
Teruskan MembacaAnwar menyambut baik pelan komprehensif yang diumumkan bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza, namun menegaskan bahawa pelaksanaannya perlu dipantau dengan teliti agar benar-benar menjamin keadilan dan keamanan buat rakyat Palestin.
“Kita mengalu-alukan rancangan komprehensif bagi menamatkan kegilaan, genosid dan kekejaman yang berlaku. Tapi pelan ini mesti dipantau rapi supaya wujud keamanan yang menyeluruh, adil dan berkekalan untuk Palestin,” katanya.
Anwar turut menyeru semua pihak agar mengutamakan dialog dan kerjasama dalam menangani isu serantau, bukan tindakan paksaan atau konfrontasi yang hanya menambah ketegangan.
“Kita perlu terus menggalakkan rundingan yang berprinsip dan berpandangan jauh. ASEAN harus kekal menjadi peneraju kepada keamanan, kestabilan dan kerjasama serantau,” tegas beliau.
Sidang kemuncak kali ini turut mencatat sejarah apabila pemimpin dari Brazil dan Afrika Selatan turut hadir, sesuatu yang menurut Anwar mencerminkan pengukuhan hubungan global antara Asia, Amerika Latin dan Afrika.
Langkah itu, katanya, membuktikan semangat solidariti antarabangsa semakin kukuh dalam memperjuangkan keamanan sejagat dan memperluas kerjasama pelbagai hala di peringkat global.
















