KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Suami kepada penyanyi dan aktivis kemanusiaan Datin Seri Heliza Helmi, iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, kekal tenang selepas menerima berita penahanan isterinya oleh tentera Israel pagi tadi.
Menurut Mahadi, beliau hanya menyedari insiden tersebut selepas mengikuti laporan perkembangan misi kemanusiaan Global Samud Flotilla (GSF) yang disertai oleh Heliza bersama beberapa lagi aktivis dari Malaysia.
Teruskan Membaca“Kali terakhir kami berhubung adalah selepas Subuh tadi. Sekarang mesej saya hanya ‘satu tick’. Tapi saya pilih untuk bersangka baik dan berdoa yang terbaik. Dia ke sana secara global, bukan individu,” katanya ketika dihubungi media.
Yakin Misi GSF Kendalikan Situasi Secara Profesional
Mahadi turut meluahkan keyakinan bahawa pihak tentera Israel tidak akan bertindak secara ekstrem terhadap para peserta misi kemanusiaan berkenaan memandangkan tujuan mereka adalah untuk menghantar bantuan secara aman.
“Saya percaya kepada organisasi yang menguruskan misi ini kerana mereka berpengalaman dalam menangani situasi seperti ini. Heliza dan adiknya, Hazwani, juga bukan asing dengan misi ke Gaza – mereka pernah ke sana sebelum ini,” katanya lagi.
Terdahulu, media sosial kecoh dengan laporan penahanan 12 aktivis kemanusiaan Malaysia oleh tentera Israel, termasuk Heliza dan Hazwani Helmi yang turut serta dalam misi GSF.
Misi Global Samud Flotilla merupakan usaha antarabangsa untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin yang kini berada dalam krisis berterusan akibat sekatan dan konflik yang berpanjangan.