KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tak kedekut pujian buat Malaysia selepas menamatkan lawatan rasminya sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur. Dalam perkongsian di platform Truth Social, beliau menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang “hebat dan sangat bertenaga” sekaligus menarik perhatian ramai di peringkat antarabangsa.
Teruskan MembacaTrump, yang kini dalam rangka lawatan ke Asia, menulis hantaran tersebut sejurus berlepas ke Jepun pagi tadi. Katanya, Malaysia berjaya menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak yang penuh bersejarah dan mencatat beberapa pencapaian besar dalam diplomasi serantau.
“TIADA PERANG! Berjuta-juta nyawa diselamatkan,” tulisnya merujuk kepada kejayaan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang dimeterai di Kuala Lumpur semalam.
Perjanjian tersebut, dinamakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur, ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan disaksikan sendiri oleh Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Trump menyifatkan penglibatannya dalam proses damai itu sebagai satu penghormatan besar, sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun.
“Ia satu penghormatan untuk saya melakukan perkara tersebut,” katanya ringkas namun bermakna.
Selain menjadi tempat penting bagi rundingan damai, Malaysia juga mencuri tumpuan sebagai lokasi utama kerjasama ekonomi antara Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN.
Trump mengesahkan bahawa AS menandatangani beberapa perjanjian perdagangan dan mineral nadir bumi penting dengan Malaysia sepanjang sidang berlangsung, langkah yang dilihat akan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
Dalam jadual padatnya, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana kedua-dua negara bersetuju menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dan Memorandum Persefahaman mengenai Mineral Penting.
Bukan itu sahaja, Trump turut menandatangani perjanjian perdagangan lain dengan Thailand dan Kemboja, menunjukkan komitmen Amerika untuk memperkukuh kehadirannya di rantau Asia Tenggara.
Trump tiba di Malaysia sekitar jam 10 pagi Ahad dan berlepas semula ke Jepun pada 10.06 pagi hari ini, menandakan berakhirnya lawatan rasmi pertamanya ke negara ini sejak kembali memegang jawatan Presiden pada Januari lalu.
Lawatan ini juga merupakan penyertaan sulungnya ke Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN sejak kembali ke Rumah Putih. Trump turut hadir dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13 yang berlangsung pada Ahad.
Menariknya, lawatan ini menjadikan Trump sebagai Presiden Amerika ketiga yang pernah melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson (1966) dan Barack Obama (2014, 2015).
















