BAHRAIN: Meriah betul sambutan untuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Bahrain! Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah disambut penuh istiadat di Istana Sakhir, Zallaq sempena lawatan negara rasmi ke sana.
Teruskan MembacaKetibaan Seri Paduka di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain disambut sendiri oleh Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, tanda hubungan rapat dan penghormatan tinggi kerajaan Bahrain terhadap Malaysia.
Sebaik tiba di istana, suasana jadi semakin meriah dengan kibaran bendera kedua-dua negara oleh murid-murid sekolah. Tak cukup dengan itu, pasangan diraja turut dihiburkan dengan persembahan tarian tradisi terkenal Bahrain, Ardah.
Momen paling istimewa bila Sultan Ibrahim dan Raja Zarith melangkah ke Podium Kehormatan sambil diiringi 21 das tembakan meriam dan lagu kebangsaan Negaraku berkumandang megah bersama lagu rasmi Bahrain.
Menurut kenyataan Istana Negara, sambutan megah itu jadi simbol hubungan erat dan saling menghormati antara kedua-dua negara.
Lepas upacara rasmi, Sultan Ibrahim sempat berbincang secara empat mata dengan Raja Hamad bagi membincangkan peluang kerjasama dua hala, termasuk dalam bidang ekonomi, pelaburan dan budaya.
Baginda juga sempat singgah di Martyr’s Memorial Monument untuk menzahirkan penghormatan kepada para pahlawan Bahrain dengan bacaan Al-Fatihah dan siraman air mawar.
Lawatan rasmi ini bukan sekadar acara protokol, tapi juga jadi tanda persahabatan yang makin kukuh antara Malaysia dan Bahrain, sekaligus membuka ruang baharu untuk kerjasama lebih luas pada masa depan.
















