Nampaknya gelombang ‘demam KRU’ masih belum reda. Walaupun konsert GenKRU The Finale One More Time baru saja melabuhkan tirainya, peminat sudah mula menyeru agar kumpulan legenda itu kembali dengan konsert baharu tahun depan.
Teruskan MembacaRuangan komen di media sosial KRU kini dibanjiri dengan permintaan daripada peminat setia yang mahukan lebih banyak persembahan daripada trio ini. Bagi mereka, satu konsert nyata tidak cukup untuk melepaskan rindu selepas bertahun-tahun menantikan kemunculan semula KRU di pentas besar.
“Tak puas lagi, nak lagi konsert KRU! Harap tahun depan ada lagi,” tulis seorang peminat.
Tidak kurang juga yang meminta konsert dengan tempoh lebih panjang supaya lebih banyak lagu ikonik dapat dipersembahkan tanpa perlu ‘potong-potong’.
“Kalau boleh tahun depan buat konsert 4 atau 5 jam! Nak dengar semua lagu KRU. Artis jemputan Rabbani pun memang padu. #KRUforever,” luah seorang lagi peminat.
Ada juga yang terus-terang menyuarakan harapan dengan mesej ringkas tetapi ‘padu’.
“Kami nak lagi, tolong buat lagi tahun depan,” tulis seorang lagi peminat dengan penuh harapan.
Fenomena ini bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan siri konsert KRU sebelum ini mencipta rekod membanggakan apabila beberapa persembahan di Axiata Arena mencatat jualan tiket habis dalam masa singkat.
Walaupun KRU setakat ini masih belum mengumumkan sebarang perancangan rasmi untuk mengadakan konsert baharu pada tahun hadapan, sambutan luar biasa daripada peminat jelas menunjukkan pengaruh mereka masih kukuh dalam industri muzik tanah air.
Satu perkara pasti, legasi KRU memang belum ‘expired’, dan peminat kini hanya menunggu masa sama ada impian melihat mereka kembali ke pentas bakal menjadi kenyataan.
















