Terkini

Haneesya akui menggigil, trauma berlakon babak di kelab malam

PELAKON dan model Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan atau lebih dikenali sebagai Haneesya Hanee akui menangis dan menggigil ketika terpaksa melakonkan babak mabuk di kelab malam, pada Ahad.

Haneesya menyatakan perkara tersebut susulan trauma atas kejadian yang menimpa dirinya pada 5 tahun lalu, yang meninggalkan titik hitam dalam karier hidupnya untuk lebih berjaga-jaga dalam memilih sebarang watak mahupun kerja.

“Saya dapat skrip cerita ni lambat, jadi skrip saya tak sempat baca habis mungkin dalam 3 episod awal je kot. Saya macam nak ke taknak sebab saya ada babak mabuk semua.

“Tapi tak sempat baca semua sebab saya rasa TV3, takkan la dia nak tayangkan babak pergi kelab banyak banyak kan. Jadi saya rasa macam tidak mengapa.

“Lepas saya dah rakam 2-3 babak, saya baca skrip saya terkejut ada banyak lagi aksi dalam kelab malam yang harus dirakam.

“Bagi saya satu tu saya boleh bertolak ansur lagi tetapi lebih daripada itu saya dah tak mampu. Saya cakap dekat mak saya sampai nangis-nangis,” ujarnya ketika ditemu bual semasa sesi sidang media drama bertajuk ‘Aku Bukan Ustazah’.

Pelakon berusia 24 tahun itu turut mengakui trauma dengan kecaman dan kritikan yang dilemparkan oleh masyarakat tempatan kepadanya sebelum ini, meskipun beliau cuba untuk tidak membaca sebarang komen yang dilemparkan.

Sebelum ini, Haneesya merupakan juara Dewi Remaja edisi 2018/2019, namun kemenangan itu ditarik balik pada 17 Januari 2019 berikutan penyebaran rakaman video yang tular di media sosial yang menunjukkan beliau berparti liar.

Isu tersebut menjadikan beliau peserta Dewi Remaja pertama yang ditarik balik kemenangan nya.

Baca juga :

Pelbagai

Scroll to Top